Projek Hujung Minggu - Bahagian 7: Jemput-jemput Sayur

Ada yang panggil cucur, ada yang panggil cekodok, ada yang panggil fritters… Walauapapun panggilannya, saya panggil jemput-jemput. Sopan sungguh nama hidangan kita kali ini, sedap pulak tu. Nyam-nyam!

Saya mengkategorikan jemput-jemput sebagai makanan segera. Ini kerana jemput-jemput adalah masakan yang sangat mudah, ekonomi, enak dan yang pastinya mengeyangkan. Baiklah, tanpa membuang masa lagi, mari kita memasak!

Jemput-jemput Sayur: Hidangan untuk 2 - 3 orang

Bahan-bahan:
Abaikan tanda harga itu :p

1 biji Bawang Besar (dipotong halus)
2 biji Cili Kering (dipotong halus)
⅙ Kubis (dipotong halus)
75 g Udang kecil tanpa kulit (dipotong kecil)
½ cawan Air
5 sudu besar Tepung Cucur Udang Adabi
3 sudu besar Tepung Gandum
Minyak untuk memasak

Cara-caranya:
1. Campurkan bawang, cili, udang, kubis, tepung gandum, dan tepung Adabi dalam mangkuk.

2. Masukan air sedikit demi sedikit sehingga adunan sebati, tapi jangan terlalu cair.

3. Panaskan minyak dalam kuali dengan api yang panas. Bila minyak sudah panas, masukan adunan sedikit demi sedikit ke dalam kuali.

4. Apabila warnanya berubah keperangan, boleh angkat dan sudah boleh makan!

Nota:
- Selain dari kubis dan dan bawang, anda boleh gunakan lobak merah, kentang, daun bawang atau apa sahaja mengikut selera anda
- Alternatif lain untuk udang kecil ialah ikan bilis, ketulan ayam, ikan atau daging
- Saya menggunakan cili kering kerana saya suka pedas. Serbuk lada hitam boleh juga. Kalau tidak mahu pedas janganlah masukan ya
- Kalau tiada bahan-bahan sampingan untuk jemput-jemput pun tidak mengapa, tepung campur air pun boleh
- Hati-hati ketika menggorang jemput-jemput kerana minyak akan memercik ketika memasak
- Hidangan ini sesuai dijadikan snek untuk minum petang
- Sesuai dicicah bersama sos cili, sos lada hitam, kari atau sambal
- Anda boleh menggunakan tepung gandum sahaja jika mahu
- Saya menggunakan tepung cucur udang Adabi kerana tepung ini mempunyai perasa yang luar biasa sedap (MSG barangkali), disebabkan harganya sedikit mahal berbanding tepung biasa, saya lebih suka untuk mencampurkan tepung Adabi bersama tepung gandum
- Kalau anda mahu bentuk jemput-jemput yang bulat, goreng jemput-jemput dalam minyak penuh dan sapukan celup sudu dengan minyak masak supaya adunan lebih mudah untuk jatuh dengan lebih bulat dan terletak dalam kuali (Tips ini saya belajar dari tukang masak Adabi)

Jemput makan jemput-jemput :)

Comments

Popular Posts