Berpesta Buku 2012: Nilai Estetika Kulit Buku

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua. Sudahkah anda semua berpesta buku? Saya baru sahaja pulang dari berpesta buku di PWTC. Pada mulanya saya bercadang untuk datang semalam tapi apakan daya ada perhimpunan Bersih pula :(

Saya hanya membeli tiga buah buku sahaja tahun ini kerana masih ada banyak lagi buku yang masih belum dibaca dalam simpanan. Ini ialah buku-buku yang telah saya beli.




Kepada sesiapa yang ingin mencari buku-buku ini boleh dapatkannya di booth Al-Ameen Serve. Buku yang menjadi buruan utama tahun ini ialah Ketupat Cinta Musim Kedua (Penggal Petama) dengan harga RM 16.00 (harga asalnya ialah RM 19.00). Jika anda berhasrat untuk bertemu dengan Dr. Faisal, beliau akan berada di booth Al-Ameen pada 3hb Mei, disebelah pagi.

Jujur ingin saya katakan di sini, saya ada rasa sedikit kecewa dengan buku ini. Jangan salah faham! Hasil tulisan Dr. Faisal penuh ilmu dan tidak pernah mengecewakan. Apa yang ingin saya komen ialah kulit buku ini. Reka letaknya celaru, kacau dan bersepah. Perekabentuk kulit buku ini dihasilkan oleh Nuriman Manap. Saya pernah dengar nama ini dan beliau merupakan seorang fine artist yang terkenal dan disegani.

Dari segi pemilihan warna, saya tidak mengerti mengapa pereka memilih warna hijau fluorescent sebagai warna latar untuk buku ini. Kepada mereka yang tidak tahu, warna fluorescent adalah dilarang sama sekali digunakan dalam senireka dan hanya dibenarkan dalam bentuk papan tanda ataupun amaran sahaja. Jika anda tidak percaya kata-kata saya, sila tatap kulit buku ini selama 10 saat tanpa mengelipkan mata. Sekiranya dahi anda berkerut dan mata anda rasa terganggu, itulah fluorescent colour. Saya tidak perasan kewujudan buku ini pada mulanya sehinggalah petugas di booth yang mempromosikan buku ini dan terus dahi saya berkerut. Walaupun warnanya fluorescent seolah-olah ianya memekik dan melolong sekuat hati, sayangnya buku ini gagal menarik perhatian saya.

Pemilihan font Papyrus sebenarnya tiada salahnya. Tetapi saya amat kurang setuju apabila tajuk besar Ketupat Cinta yang off white itu perlu di"outline"kan dengan warna hitam. Ini adalah hukum grafik yang amat ditegah sama sekali. Papyrus ialah font yang bersifat klasik, epik, lama dan mewah pada masa yang sama. Saya tidak mengerti mengapa rekaletak yang nampaknya berusaha untuk nampak moden tetapi macam tak jadi, ditambah pula dengan penggunaan font Papyrus. Saya keliru…

Secara keseluruhan, apa yang boleh saya tafsirkan secara positif, mungkin pereka kulit buku ini mahu menunjukan kecelaruan dan pada masa yang sama, beliau ingin menarik pembaca muda untuk membelinya. Ini kerana pembaca generasi muda lebih cenderung memilih buku yang mempunyai rekaletak yang berani dan berunsur memberontak (but in a good way).Tapi gagal sebenarnya. Tidak salah untuk seseorang pereka mahu break the rules, tapi ada caranya. Honestly, this cover seems a bit too amateurish to me. Kalau bukan sebab buku ini pengarangnya adalah Dr. Faisal Tehrani, sudah tentu saya tidak akan membelinya. Ada pepatah Inggeris mengatakan don't judge a book by it's cover. Tetapi malangnya saya ialah seorang pembaca yang menilai sesebuah buku itu dari luarannya. Usah gusar, oleh kerana branding dan nama Dr. Faisal Tehrani lebih vocal dari kulit buku ini, saya yakin tiada masalah buat peminat untuk membelinya. Apa ada pada kulit buku kan? Yang penting isinya.

Jika hendak dibandingkan dengan kulit buku Tuhan Manusia dan Bila Tuhan Berbicara memang terlalu jauh bezanya. Saya amat menyukai hasil catan di kulit buku-buku tersebut. Dalam buku Tuhan Manusia juga ada diselitkan sekali huraian catan ilustrasi di beberapa mukasurat terakhir. Ini adalah cara yang bagus untuk mendidik atau memberi pendedahan kepada pembaca yang tidak tahu bagaimana untuk menghargai atau menghayati sesebuah karya. Ketupat Cinta musim pertama lebih kemas rekaletaknya. Konsep white space yang mesra mata dan imej penggiling cili dan bukan ketupat (soft sell) juga amat menyenangkan.

Sekiranya isi buku yang hebat dan dibaluti dengan kulit yang menarik, pasti ianya sebuah karya yang akan diingati. Sehingga hari ini saya tidak dapat melupakan lukisan Paduka Ratu yang colourful yet quirky itu. Dengan tanpa segan silunya, secara peribadi saya ingin mengatakan bahawa kulit buku Bila Tuhan Berbicara adalah kulit buku yang unik dan menarik. What more can I say, a great book combine with an awesome cover, it's just devine and definitely epic!

Barangkali ada yang kurang setuju dengan pendapat saya. Mungkin saya dangkal untuk menafsir maksud disebalik rekabentuk. Maafkan saya sekiranya komen ini melukakan sesiapa yang membacanya. Sekiranya ada yang sudi berkongsi dan memeberitahu maksud tersirat yang tidak saya fahami, saya amat mengalu-alukan komen dari anda :)

Selamat malam semua!

Comments

Ameenbooks said…
This comment has been removed by the author.
Ameenbooks said…
Saya bersama Faisal di PBAKL 2012 dan beliau menarik perhatian saya komen saudari terhadap cover design ketupat cinta musim kedua penggal pertama. Sebagai penerbit Al-AMeen memang sentiasa menerokai seni-seni visual yang agak baru dalama dunia penerbitan. Alangkah bahagianya jika semua yang dicuba itu disukai oleh semua orang. Seni visual kulit depan buku memerlukan unsur seni pengiklanan dan kemungkinan penafsiran cover artist agak janggal bagi sesetengah orang. Namun begitu yang penting tahap penerimaan khalayak pembaca. Ada cover design iman yang tidak disukai oleh golongan artist lain tetapi meletup dipasaran. Kita perlu membuka ruang kepada golongan artist untuk mencuba perkara yang baru. -Che Mazlan (Penerbit Al-Ameen)-
IdaMandarin said…
Salam Saudara Che Mazlan,
Terima kasih kerana sudi menjelaskan perkara ini kepada saya. Saya memuji penerbit Al-Ameen yang berani membawa nafas baru dalam penghasilan cover design yang lebih bermutu. Ini adalah berita gembira buat saya yang gemar membaca dan pada yang sama sukakan cover design yang menarik. Saya akan menantikan buku-buku berkualiti keluaran Al-Ameen dengan cover design yang lebih eye candy. (Nyam, nyam!)

Sekiranya entri saya ini menyinggung perasaan sesiapa, saya mohon maaf sekali lagi.

*Eh, siapa delete comment pertama? Saya tak sempat baca pun! :(

Popular Posts