Projek Tiba-tiba - Bahagian 3: Shepard's Pie

Terima kasih saya ucapkan kepada mereka yang sentiasa memberi galakan kepada saya untuk terus memasak dan memblog untuk berkongsi resipi. Oleh kerana ramai yang menyuruh saya untuk menunjukan langkah demi langkah memasak dengan lebih teliti, saya pun dengan susah payahnya memegang iPhone sambil memasak. Tapi tak mengapa, saya sendiri rasa gembira juga dapat berkongsi dengan pembaca semua :)

Dalam entri kali ini saya sepatutnya berkongsi cara membuat Karaage. Tetapi disebabkan saya masih belum membeli ketulan ayam, jadi saya menggantikan Karaage dengan resipi yang lebih hebat iaitu Shepard's Pie (Pai Penggembala)! Oh, dengar nama makanan sahaja sudah terliur. Yummeh~!

Shepard's Pie: Hidangan untuk 3 - 4 orang

Kambing ada di dalam bekas berpenutup putih tu.

Bahan-bahan inti pai:
3 ulas Bawang Putih (potong kecil-kecil)
1 biji Bawang Besar (potong kecil-kecil)
Halia sebesar ibu jari (potong kecil-kecil)
Daging Kambing yang dihiris

Daging ini direbus semalaman terlebih dahulu dengan bawang putih, bawang merah, halia, kayu manis dan garam supaya ianya lebih lembut dan bau hanyirnya hilang.

1½ biji lobak merah dihiris
1 tin Kacang Pea Ayam Brands (230g)
1 kiub pati ikan bilis Knorr
1 cawan air panas
1 sudu Tepung Jagung
Sedikit serbuk Mixed Spice
Sedikit minyak zaitun untuk menumis

Cara-caranya:

1. Larutkan kiub pati ikan bilis dalam air panas dan biarkan dahulu.
2. Panaskan minyak zaitun dalam kuali api sederhana, tumiskan bawang putih, bawang besar dan halia sehingga naik baunya.


3. Sambil menumis, saya masak daging kambing yang telah dihiris tadi. Sekiranya daging kambing anda telah betul-betul masak, empuk atau telah benar-benar nyahbeku, boleh tinggalkan langkah ini.


4. Apabila bahan menumis telah naik baunya, masukan lobak merah dan kacang pea. Biarkan sayur masak seketika.

5. Masukan air larutan pati ikan bilis tadi ke dalam inti pie. Kacau seketika kemudian masukan daging kambing.
6. Bedakkan sedikit dengan serbuk Mixed Spice dan kacau lagi.

7. Masukan tepung jagung supaya ianya menjadi likat. Andai terlalu melekit, boleh tambah air.


8. Bila sudah sebati, lobak telah lembut, bau juga sudah naik, anda bolehlah hidangkan inti pie ini di dalam mangkuk.

Bau inti pai ini teramat sangatlah sedap...

Boleh makan begini sahaja kalau dah tak sabar. Kalau boleh sabar lagi, mari kita buat topi untuk pai pula :)

Bahan-bahan:
1 biji Bawang Besar (hiris kecil-kecil)
7 biji Kentang saiz kecil
Keju Mozzarella yang telah diparut (ikut suka)
Sedikit marjerin
Sedikit lada hitam yang telah ditumbuk
Sedikit minyak zaitun untuk menumis

Cara-caranya:
1. Panaskan ketuhar 200 darjah celcius selama 10 minit.
2. Rebus kentang yang telah dibuang kulit selama 30 minit/ sehingga empuk.
3. Sementara menunggu kentang lembut, panaskan kuali, tuangkan sedikit minyak zaitun dan tumis bawang besar sehingga warnanya perang-keperangan.
4. Angkat bawang dan ketepikan dahulu.
5. Apabila kentang sudah empuk, tuskan. Lenyek kentang bersama bawang yang telah digoreng, parutan keju Mozzarella, lada hitam.

Bahan untuk dilenyek bersama, tapi tiada lada hitam dalam ni kerana saya malas mahu menumbuk lada hitam. Maafkan saya~~

5. Sekiranya terlalu kering/ keras, tambahkan sedikit mentega/ marjerin (susu pun boleh juga) untuk melembutkannya.
6. Apabila sudah sebati, ratakan adunan kentang lenyek di atas inti pie. Anda boleh gunakan garfu untuk mencorakkan "topi" pie ini.


Inilah rupa Shepard's Pie yang sudah separa siap. Langkah seterusnya, masukan ke dalam ketuhar selama 20 minit. Huhuhu~ Laparnya...

Nota:
- Disebabkan saya gagal untuk mencari minced mutton di pasaraya, saya menggunakan daging kambing rebus yang dibawa dari rumah. Itu pun mama saya yang rebuskan terlebih dahulu sebelum dia membuat Nasi Daging. Kebetulan sahaja ada, saya memang bertuah!
- Kalau ada celery, saya yakin pai ini akan bertambah sedap. Tapi pasar raya di hadapan rumah sangat terhad pilihan sayurnya, jadi saya pakai apa yang ada sahaja.
- Keju Mozzarella boleh digantikan dengan Parmesan juga.
- Sekali lagi ingin saya ingatkan, ketuhar di rumah saya ini sudah uzur dan mungkin masa dan suhu memasak adalah tidak tepat. Untuk kebaikan bersama, saya sarankan anda Google dan buat research sedikit terlebih dahulu sebelum memasak.
- Saya menghabiskan 2 jam untuk menyiapkan pai ini sendirian. Memasak itu terapi yang melegakan tetapi pada masa yang sama juga ianya memenatkan.
- Ada kawan saya yang mengatakan pai ini kurang masin. Saya sendiri tidak gunakan garam dalam masak. Jadi kalau anda sukakan masin, bolehlah tambah garam ya.

Selamat Mencuba! :)

Comments

Googoozool said…
sedaaaaapnyeeeeeeeer!!! nyum nyum nyummeeeh! hehehe

Popular Posts