Projek Hujung Minggu - Bahagian 2: Chicken Pot Pie

Keesokan harinya, misi utama kami baru sahaja bermula. Setelah sekian lama ingin membuat Chicken Pot Pie (Pai Periuk Ayam), dan saat yang dinantikan telah tiba! Muahahaha! Baiklah, mari kita mula!

Ini adalah bahan-bahannya, separuh daripada ini adalah bahan untuk Lasagna. Oops! Spoiler!

Chicken Pot Pie: Hidangan untuk 3 - 4 orang

Bahan-bahan yang diperlukan:
Chicken Stew:
Filet ayam yang dipotong kecil (perap dengan lada hitam dan garam)
1 Tin Sos Prego Keju dan Herba
2 biji Bawang Merah (hiris)
3 ulas Bawang Putih (hiris)
Halia sebesar ibu jari (hiris)
½ tin Cendawan Butang (potong dadu)
6 biji Kentang saiz sederhana
½ batang lobak (dipotong dadu)
½ pokok Brokoli (dipotong dalam saiz kecil)
Mentega/ Marjerin untuk memasak
1 cawan air
Keju Mozzarella (parut)
Sedikit serbuk Mixed Spice

Cara-cara:
1. Hidupkan api (sederhana), masukkan mentega/ marjerin ke dalam kuali.
2. Masak ayam yang telah diperap terlebih dahulu, selepas masak, angkat ayam dan ketepikan dahulu.
3. Tumis halia, bawang merah, bawang putih sehingga naik baunya.
4. Masukan sos pasta Prego Keju dan Herba dan panaskan seketika, "bedakkan" sedikit serbuk Mixed Spice. Bila sudah panas, masukan secawan air dan kacau (kepada mereka yang tidak suka kuah cair boleh tinggalkan langkah ini.
5. Masukan lobak, cendawan butang, kentang dan brokoli. Tutup periuk, perlahankan api dan biarkan sayur masak lebih kurang dalam 10 minit. Benchmark saya ialah kentang, saya akan pastikan ianya betul-betul empuk.
6. Akhir sekali, masukan ayam dan kacau. Akhir sekali tutup api dan Chicken Stew anda dah siap!
7. Hidangkan dalam mangkuk dan taburkan keju mozzarella untuk langkah seterusnya.
8. Anda boleh makan begini sahaja kalau dah tak sabar.

Pastikan anda sentiasa kacau supaya sayur tidak melekat pada dasar periuk

Jejari biskut:
Tepung gandum
Mentega/ Marjerin
Air sejuk
1 biji Telur Gred C (dipukul)

Cara-cara:
1. Panaskan ketuhar dalam 200 darjah celcius selama 10 minit.
2. Gaulkan mentega dan tepung gandum supaya ianya bersatu.
3. Masukan air sejuk sedikit demi sedikit sambil kacau adunan.
4. Bila ianya sudah membentuk doh, anda boleh mula uli secara memanjang dengan menggunakan rolling pin.
5. Potong doh yang telah nipis (ketebalan dalam (0.5cm)
6. Susun doh jejari di atas mangkuk. Ini bergantung kepada kreativiti anda. Kalau rajin boleh anyam tikar atas tu.
7. Sapukan telur yang telah dipukul atas doh jejari.
8. Bila sudah siap, masukan ke dalam ketuhar dan masak dalam masa 20 minit.
9. Dah siap dan anda boleh menikmati Chicken Pot Pie anda!

Baca doa makan dulu!

Nota:
- Ini adalah kali pertama saya mencuba resipi ini. Jadi saya rasa amat bangga untuk berkongsi dengan anda versi Chicken Pot Pie saya sendiri. Menurut Chef Micheal Smith dari rancangannya Chef at Home,

... anda tidak perlukan resipi. Apa yang anda perlukan hanyalah kreativiti dalam memasak...
Sangat positif kan?

- Saya tiada nilai anggaran untuk membuat doh, biasanya memang agak-agak sahaja. Maafkan saya.
- Chicken Pot Pie asalnya dihidangkan dengan doh yang sebenarnya adalah roti di atas, tapi saya masih belum cukup pakar dalam membuat roti. Jadi saya ubah resipi ikut kemahiran saya.
- Saya memang tidak mahu guna garam terlalu banyak, cukuplah ada pada ayam yang sudah diperap.
- Kalau mahu Chicken Stew yang lebih meriah, boleh masukan celery, kubis bunga, peas, dan lain-lain.
- Keju Mozzarella boleh ditaburkan ikut tahap fanatiknya anda terhadap keju.
- Andai anda tidak mahu jejari biskut, makan bersama roti biasa juga sudah cukup enak.
- Ketuhar di rumah saya sudah terlalu uzur sebenarnya, umurnya mencecah 10 tahun dan sudah banyak jasanya. Ketika membakar Chicken Pot Pie ini, pada mulanya ketuhar ini hidup. Tetapi selepas beberapa minit ianya mati semula. Saya terpaksa memerhatikan biskut jejari sehingga ianya masak dengan tabah. Jadi ingin saya nasihatkan kepada pembaca supaya pastikan biskut jejari dan Chicken Stew anda tidak rentung ketika berada dalam ketuhar. Pendek kata, suhu dan masa memasak adalah tidak tepat sama sekali. Maafkan saya sekali lagi. Huhuhu~
- Saya dan Ice kelaparan ketika menunggu masakan ini siap sepenuhnya, oleh itu kami membuat Chicken Karage sebagai alas perut. Oops, spoiler lagi!

Selamat mencuba!

Comments

Popular Posts