Projek Hujung Minggu - Bahagian 1: Roti John

Setiap kali sesi rakam suara bersama Ice, saya dan dia akan sentiasa berbual mengenai makanan sehingga terliur. Saya teramat sangtlah mahu cuba memasak Shepard's Pie manakala Ice pula sangat-sangat idamkan Pavlava. Kami akan google imej makanan dan menjerit bersama-sama apabila menyaksikan porno makanan yang menggoda. Hohoho…

Sebelum itu biarlah saya perkenalkan sedikit sebanyak tentang Ice. Ice (sudah tentu bukan nama sebenar) merupakan seorang penggemar makanan dan pembeli Roasted Chicken Sub yang tegar. Dia amat menggilai Ranch Dressing dewasa ini dan akan menghabiskan subnya sehingga menjilat jari.

Pada hujung minggu lepas, Ice bertandang ke rumah saya kerana kebosanan. Oleh kerana saya juga mencari kawan untuk makan bersama, jadi Ice memanglah calon yang sesuai.

Ice tiba di rumah saya selepas Maghrib dengan membawa segala kelengkapan untuk bermalam di rumah. Kami berbual seketika sehinggalah Ice mengatakan dia lapar, saya dengan segeranya terus teringatkan Roti John yang amat mudah untuk disediakan dan amatlah sedap. Mari kita masak!

Roti John: Hidangan untuk 2 orang

Bahan-bahan untuk Roti John:
2 keping Roti
1 ulas Bawang Merah
2 biji Telur Gred C
Ketulan Ayam yang telah diperap bersama lada hitam dan garam
Marjerin/ Mentega
Sedikit mayonis (sedikit sahaja!)

Cara-cara:
1. Sapukan marjerin/ mentega pada sebelah permukaan roti dan bakar seketika dalam beberapa saat.
2. Hidupkan api, api sederhana sudah memadai. Masukan sedikit mentega/ marjerin ke dalam kuali. Apabila kuali cukup panas, masukan ayam yang telah diperap dan goreng seketika. Lepas ayam sudah masak, ketepikan.
3. Pukul telur sehingga sebati, kemudian campurkan bawang merah, mayonis dan ayam yang telah dimasak tadi.
4. Masukan telur dan bahan-bahan yang telah dicampur bersama ke dalam kuali.
5. Ketika telur sedang masak, tampalkan roti di atas permukaan telur yang masih mentah.
6. Biarkan ianya sehingga warna telur menjadi sedikit keperangan.
7. Angkat roti john yang telah siap dan dah boleh makan.
8. Sesuai dimakan bersama sos cili, sos lada hitam dan apa-apa sos yang menjadi kegemaran anda.

Beginilah rupa ayam yang sudah dimasak terlebih dahulu

Nota:
- Ayam boleh digantikan dengan daging, sardin atau tuna.
- Saya biasanya akan masak ayam terlebih dahulu untuk mengelakkan ayam mentah. Nanti sakit perut susah pula.
- Sengaja saya menggantikan minyak dengan marjerin/ mentega. Ini kerana bila masak menggunakan marjerin/ mentega, bau makanan akan lebih wangi.
- Mayonis digunakan dalam membuat telur dadar untuk menjadikan ianya lebih gebu.
- Anda juga boleh menggunakan hirisan timun, tomato, salad, bawang atau apa sahaja untuk dimakan bersama Roti John ini.
- Tiada gambar untuk Roti John ini kerana kami terlalu lapar dan terus makan :p

Selamat mencuba!

Comments

Popular Posts