Sawadeekap!

Tahun ini merupakan tahun cuti-cuti saya bersama keluarga. Destinasi pilihan kami tahun ini ialah Hadyai, Thailand. Sekiranya anda ingin membaca perbandingan antara Thailand dan Malaysia, silalah ke blog ini. Disebabkan saya sedang menyimpan wang untuk melangsaikan pinjaman kedua PTPTN, saya tidak membawa wang yang banyak. Saya hanya berbekalkan RM 100 (lebih kurang dalam 1000 baht) sebagai wang belanja. Kepada mereka yang ingin melancong ke luar negara, silalah jelaskan pinjaman anda ya.

Kami pergi ke Hadyai dengan menaiki bas. Perjalanan memakan masa 7 - 8 jam (banyak masa dihabiskan dalam bas sebenarnya). Kalau anda berhasrat untuk masuk ke negara jiran ini saya sarankan pergilah seawal subuh kerana anda perlu beratur untuk lalu di bahagian imigresen. Ini merupakan kali pertama saya menjejakan kaki di negara ini. Sesungguhnya saya tidak dapat menjangkakan apa yang ada di Thailand. Tapi yang pastinya saya mahu berjalan-jalan dari menghabiskan wang dengan membeli belah.

Antara hidangan yang kami pesan, nasi putih, sayur campur, tom yam dan ikan siakap tiga rasa. Biasa-biasa sahaja... (pernahkah anda terfikir, restoran Malaysia sebenarnya "dijajah" oleh Thailand!)

Setibanya di Thailand, kami berjalan mencari restoran halal. Kami makan tengah hari di restoran Hamid. Harga makanan di restoran ini sedikit mahal. Disebabkan kami tidak tahu selok-belok di sini jadi kami sekeluarga masuk sahaja tanpa berfikir panjang. Pelayan di sini boleh berbahasa Melayu, dan tidak sukar untuk berkomunikasi. Kami memesan murtabak, nasi dan beberapa jenis lauk. Murtabaknya sedap, dihidangkan bersama sos cili Thai yang lazat. Tapi lauknya tidak berjaya menambat hati saya. Biasa-biasa sahaja.

Selepas makan tengah hari, kami berjalan tanpa arah tuju dan masuk ke dalam salah sebuah pusat membeli-belah berdekatan. Harga barangan di Thailand jauh lebih murah berbanding Malaysia. Sepasang selipar yang biasa dijumpai di pasar malam boleh dibeli dengan harga 100 baht, beli satu percuma satu. Amat murah. Kasut tumit tinggi atau but dijual dalam lingkungan 200-500 baht. Kepada mereka yang gemar membeli belah atau ingin bergaya dengan cara yang bijak, bolehlah datang ke Hadyai.

Tempat menjaja idea

Saya berkesempatan untuk melihat Idea Market yang terdapat di sini. Idea Market merupakan himpunan penggiat seni yang ingin menjual hasil kraftangan mereka. Suasana di Idea Market ini sangat meriah. Hasil kraftangan mereka juga kreatif, rambang mata dibuatnya. Pada pengamatan saya, barangkali mereka ini semua adalah pelajar kerana semuanya nampak muda dalam lingkungan 20an.

Manisan yang berwarna-warni, sangat cantik. Tapi saya tidak suka makanan manis

Salah satu tempat yang wajib anda singgah sekiranya ke Hadyai ialah pasar terapung. Mungkin ada yang berpendapat pasar semuanya sama, tapi pasar terapung di sini istimewa sekali. Dari jauh lagi sudah nampak sampan yang dihias cantik dan berwarna-warni di tepi sungai. Pasar di Hadyai sangat meriah, di sini anda boleh melihat serangga goreng dijual, bunga pandan dan bermacam-macam lagi makanan dan barangan unik yang dijual di sini. Serasa macam pasar dalam cerita dongeng pun ada.

Bunga pandan yang dijual di pasar darat sebelum masuk ke pasar terapung

Ada sesiapa mahu serangga goreng?

Oleh kerana saya seorang yang sukakan makanan, saya lebih banyak membelanjakan wang untuk makanan berbanding barangan lain. Makanan di Hadyai sangat enak, cantik dan murah. Contohnya, semangkuk kuetiau tomyam berharga 25 baht (dalam RM 2.50). Tom yam di sini berbau wangi, warnanya jernih dan rasanya pula ada sedikit masam. Sangat sedap! Saya mencuba hampir semua makanan di pasar terapung ini. Disebabkan saya makan tanpa beringat, seluruh wajah saya kegatalan dan kemerahan selepas makan cucur udang. Tidak mengapa, ini sangat berbaloi.

Jagung susu dan jagung pulut (yang berwarna ungu putih)

Destinasi seterusnya ialah pasar malam Hadyai. Kami menaiki "tut-tut" beramai-ramai dan perjalanan ke pasar malam ini mengambil masa 5 minit sahaja dari hotel. Barangan di pasar malam sini murah-murah belaka. Saya ada membeli sepasang kasut Oxford berwarna coklat dengan harga 129 baht (dalam RM 12.90). Sehelai kardigan berharga 100 baht sahaja. Kepada mereka yang ingin membuka perniagaan barangan atas talian, saya galakan anda datang dan membeli barang di sini secara pukal.

Seronoknya naik "tut-tut'!

Tapi yang paling menggembirakan saya di sini ialah makanan jalanan tentunya. (Kepada mereka yang tidak makan makanan jalanan adalah satu kerugian besar!) Saya sekeluarga makan di sebuah gerai kecil yang menjual nasi ayam. Nasi ayam Hadyai teramat sangatlah sedap. Tatkala saya sedang menulis ini pun sudah rasa terliur. Sos cili Thai di sini sangat sedap. Ada rasa sedikit tertipu dengan sos cili Thai yang dijual dalam botol di Malaysia. Sos cili Thai yang asli lebih berperisa, ada rasa udang kering, bawang, mangga dan pedas tentunya. Argh! Disturbing sungguh!

Saya dan adik yang makan tanpa henti :p

Dua hari satu malam berlalu dengan sangat pantas. Keesokan harinya, kami sudah pulang ke Malaysia. Sebelum pulang, saya sarankan anda mencuba ayam pulut yang dijual di tepi-tepi jalan sebelum anda melalui imigresen. Ianya adalah ayam goreng rangup yang dimakan bersama pulut, bawang goreng dan sos cili Thai. Street food sangat heaven!

Begitulah kembara Thailand saya. Kepada mereka yang berhasrat untuk ke Hadyai, saya harap maklumat yang saya kongsikan ini amat berguna. Memang seronok! Harap dapat ke Thailand lagi! v(^____^)v

Comments

Popular Posts