Sunday, March 28, 2010

Disebalik Suara Upin & Ipin dan Kawan-kawan

Dengan bangganya Kak Ros perkenalkan pelakon-pelakon suara bagi siri animasi Upin & Ipin musim keempat... Tadaa!

Belakang dari kiri : Fizi (Ida Rahayu), Kak Ros (Idaman), Opah (Pn. Ainon), Mei Mei (Yuki) dan Dzul (Amirul)
Depan dari kiri: Ehsan (Syahmi), Upin & Ipin (Syiela) dan Mail (Hasrul)


Ini ialah adik Asyiela Putri, atau dengan panggilan manjanya Syiela. Masih Kak Ros ingat ketika pertama kali berbual dengan Syiela, dia hanya akan tersenyum dan malu-malu untuk menjawab. Setelah beberapa lama, adik Syiela ini sebenarnya sangat ceria dan mudah mesra orangnya. Apa yang menyenangkan, Syiela seorang yang tidak lokek senyuman.

Seterusnya, rakan sekelas Upin & Ipin iaitu Dzul dan Ijat yang semakin mendapat perhatian ramai. Mereka sebenarnya sudah lama meminjamkan suara namun wajah mereka tidak pernah dipamer di mana-mana lagi (melainkan blog rasmi LCP).


Suara Dzul dilakonkan oleh adik Amirul manakala Ijat pula dilakonkan oleh adik Izzat. Mereka berdua ini sebenarnya rakan karib kepada pelakon suara Mail (Hasrul). Lazimnya selepas tamat sesi rakaman suara, mereka akan naik ke tingkat produksi untuk bermain game atau bola sepak (tak tipu, memang main dalam pejabat).


Andai penonton perhatikan kredit di akhir cerita Upin & Ipin pasti akan perasan akan perubahan kepada pelakon suara Mei mei. Tang Ying Sowk atau selesa dengan panggilan Yuki ini telah meminjamkan suaranya sejak pertengahan musim tiga lepas. Yuki juga merupakan salah seorang staf yang cukup kak Ros segani di LCP ini.

Ramai yang tertanya-tanya mengapa pihak produksi LCP mengambil pelakon suara baru Upin & Ipin untuk musim ini. Di sini Kak Ros ingin menjelaskan bahawa pihak LCP ingin mencungkil bakat baru yang bakal menjadi pelapis untuk siri kegemaran ramai ini. Ini juga memberi ruang kepada pelakon suara asal Upin & Ipin untuk membuat persiapan bagi menghadapi peperiksaan besar pada tahun hadapan.

Diharapkan semua peminat akan terus menyokong Upin & Ipin. Perubahan suara sama sekali tidak menjejaskan kualiti animasi ini. Teruskan menonton Upin & Ipin :)

No comments: