Berpesta Buku

Inilah bulan yang saya nanti-nantikan. Setelah lama 'berpuasa' dari membeli buku beberapa bulan, masa untuk membalas dendam tiba akhirnya! Mari kita berpesta buku!

Ketika di PBKL 2010, saya berpeluang bertemu dengan penulis kegemaran saya - Faisal Tehrani. Saya tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan buah tangan terbaharu beliau iaitu 'Bahlut' dan 'Ingin Jadi Nasrallah' di gerai Ameen Serve.

Selepas mendapatkan buku-buku yang disebutkan di atas, saya bergegas ke gerai ITNM untuk mendapatkan tandatangan beliau. Saya juga menyatakan hasrat saya untuk mendalami bidang penulisan memandangkan saya masih lagi baru dalam bidang ini.

Bersama Faisal Tehrani

Sesuatu yang tidak dijangka berlaku di gerai ITNM. Apabila saya memperkenalkan diri sebagai penulis skrip dan pelakon suara Kak Ros bagi siri animasi Upin & Ipin, petugas di gerai ITNM serta merta teruja dan menghulurkan mikrofon lalu meminta saya untuk memperkenalkan diri sebagai Kak Ros di khalayak ramai. Oh, segannya. Satu peristiwa yang tak mungkin saya lupakan...

*Secara jujurnya, saya terasa macam mengganggu 'event' orang lain pula. Maafkan saya FT... Huhu...

Selepas itu, saya terus melangkah kaki ke dewan "seberang sungai" untuk bertemu dengan seorang lagi penulis yang dijadualkan untuk mempromosikan buku beliau di gerai PTS. Saya sempat bertemu dengan Nisah Haron. (Beliau merupakan penulis cerpen Annys Sophilea dalam antologi Anak Laut)

Bersama Nisah Haron - Beliau juga menetap di Seremban :)

Saya sempat beramah mesra dengan beliau walau sekejap. Dapat beramah mesra dengan penulis yang telah lama berkecimpung dalam bidang penulisan buat saya rasa amat bertuah. Pada satu ketika dahulu, saya hanya bisa membaca cerita mereka dari buku sahaja. Tak sangka dapat bertemu muka satu hari nanti.

Belum sempat masuk bulan April, tanpa saya sedari, saya telah menghabiskan sebanyak RM300+ untuk buku. Saya juga telah membeli biola akustik dari ebay dengan harga yang berpatutan (lebih kurang RM300+ selepas bidaan saya menang).

Nampaknya dompet saya perlu berdiet pada bulan hadapan... Borosnya saya... (-_-)"

Comments

Popular Posts