Kerana watak Kak Ros

Pelakon suara, Ida Shaheera kena mencuba berbagai-bagai variasi nada dalam animasi Upin dan Ipin.

IDA bersama watak Kak Ros yang menggunakan suaranya.

APABILA mendengar watak animasi bersuara di kaca TV, kita seolah-olah percaya bahawa suara itu adalah milik watak kartun berkenaan. Namun, di sebalik tabir, sudah tentu ada insan yang menjadi 'peti suara' bagi watak tersebut. Kerja itulah yang dilakukan oleh pelakon suara (voice actor). Merekalah yang memberikan suara kepada watak kartun. Sehinggakan kita sendiri mampu mengenal pasti bunyi suara itu milik Upin, Donald Duck atau Pikachu. Wartawan ADHAM SHADAN berpeluang menemu bual seorang pelakon suara, IDA SHAHEERA AZHAR, 24, yang melontarkan suara untuk watak Kak Ros dalam siri animasi yang mencetuskan fenomena di Malaysia, Upin dan Ipin.

GenK: Bagaimanakah anda mula terlibat dalam kerjaya ini?

IDA: Saya sebenarnya terlibat di sebalik tabir produksi syarikat Les' Copaque sebagai penulis skrip. Saya mula melontarkan suara untuk watak Kak Ros, kakak kepada Upin dan Ipin, sejak musim kedua siri animasi berkenaan.


Kalau ada orang lain berminat untuk jadi pelakon suara, apakah nasihat anda?

Kesesuaian suara dengan watak itu perlu. Minat sahaja tidak mencukupi jika tidak ada watak yang dicipta atau suara kita tidak kena dengan watak. Justeru, animasi di negara ini perlu diperbanyakkan bagi mempelbagaikan watak. Buat masa ini, pengambilan untuk menjadi pelakon suara adalah menerusi uji bakat yang dibuka kepada orang ramai dan biasanya ia dibuka apabila ada kekosongan watak. Maklumlah, ia berlainan dengan pekerjaan alih suara.



Bolehkah anda jelaskan kelainan antara pelakon suara dan alih suara?

Alih suara melibatkan kerja kita mengalih suara pada animasi atau drama yang telah wujud tetapi pelakon suara ialah mereka yang melakonkan animasi yang masih dalam produksi atau secara khususnya belum dapat dilihat atau ditonton. Orang ramai salah faham, mereka fikir suara dimasukkan selepas animasi siap, sebaliknya suara perlu disiapkan lebih awal daripada animasi. Jadi, ia berbeza dengan produksi alih suara.


Kerja itu sudah membayangkan cabarannya. Bagaimanakah anda menghayatinya?

Sebagai pelakon suara, kita bersuara dengan membayangkan bagaimana watak animasi itu akan berkata-kata, intonasinya dan sebagainya. Memang ada panduan daripada mock-up suara dan jurulatih suara tetapi kita masih boleh mencorakkannya mengikut kewajaran. Kalau alih suara, cabarannya melibatkan sudut yang lain pula. Mungkin untuk memastikan pergerakan mulut hampir serupa dengan watak animasi. Tetapi tidak bagi kami kerana suara kami direkodkan dahulu, baru disiapkan animasinya.

IDA melakukan lakonan suara di studio.

Mengenai cabaran pelakon suara, kami kena cuba berbagai-bagai variasi nada dan intonasi untuk satu baris ayat. Kami juga perlu cuba berkali-kali. Biasanya lima kali. Paling banyak saya pernah melakukan 10 kali percubaan untuk satu ayat.


Adakah terdapat persamaan antara watak anda dengan Kak Ros?

Macam tidak ada (ketawa). Sebabnya, watak Kak Ros adalah tegas. Saya sebenarnya seorang yang tak tahu nak marah. Jadi, ramai kawan-kawan tak sangka bahawa suara Kak Ros adalah suara saya. Ramai juga kawan-kawan yang tidak dapat cam suara itu. Kebanyakan mereka hanya sedar apabila tertera nama saya di bahagian kredit pada akhir cerita.


Apakah perasaan anda setelah menjadi pelakon suara?

Seronok. Bukanlah popular sangat tetapi kerana watak Kak Ros saya dikenali. Kadang-kadang saya berasa unik, sebab tak ramai orang berpeluang melakukan kerja itu. Ini kerana di negara ini belum banyak lagi animasi yang dihasilkan. Tetapi, ada juga orang tidak sukakan Kak Ros sebab begitu tegas dengan Upin dan Ipin yang comel itu (ketawa).

IDA menerangkan peringkat-peringkat penghasilan animasi.

Bagaimanakah hendak menjadi pelakon suara yang baik?


Jangan cepat putus asa. Sebab adakalanya kita kena ulang satu baris ayat berkali-kali. Tidak bermakna kalau anda merasakan telah melakukan yang terbaik untuk sebaris ayat pada hari ini, anda tidak akan dipanggil untuk memperbaikinya keesokan hari atau pada hari yang lain. Maklumlah, setiap produksi pasti mahu menghasilkan animasi yang terbaik.


Bolehkah kerjaya pelakon suara menjadi pekerjaan tetap individu di negara ini?

Susah hendak kata, sebab bayarannya berbeza-beza mengikut faktor tertentu seperti watak yang dibawa atau berapa baris ayat yang dilakonkan. Buat masa ini, saya berpendapat mungkin ia lebih sesuai dijadikan kerjaya sambilan. Tetapi, tidak mustahil kalau industri animasi sudah betul-betul berkembang di negara ini, ia boleh menjadi sebaliknya.

From Kosmo! May 19th, 2009.

Comments

yunus said…
Wow! dah kuar paper!! congratulation Ida :) you deserve it. mesti pasni ko dapat tawaran berlakon plak.. kalo tak drama, terus jer movie hehehe...Chaiyok

Salam to Upin & Ipin yer
mediahorizon said…
nak mintak autograf la kak ros... hen cute wor!
Googoozool said…
wa caya sama lu! Jgn lupe 2 paper Kosmo bersamaan 2 hengget..
agent_sesat said…
ida!! memang lain skrg....tapi at least xder lah cam suara2 citer anime yg di melayukan tue...waahh..mendatar jer...

tapi yg nie!! Kak ros!! mmg best!! cai yok!!

* psstt nak try!!!
cHiQu3CHiLL said…
RIBUAN TERIMA KASIH pada yang MEMBANTU ..
wah x sgka jmpe kak ros kat cni.. huhu.. i add as followers
Razuri Ajmain said…
gambar yg masa recording tue...
ahahahaha~!!!!
fake gile...
but some how ia nya kiut~
:D
IdaMandarin said…
To Yunus: Hehehe, thank u. Berlakon? Xmaola~~

To Mumu: Autograf, saya Xsehot En. Mediahorizon yg dikelilingi artis...

To Googoozool: Eh, malam tadi kata Xkisah? Ehehe~~

To Agent Sesat: Ye, memang lain kerana saya semakin gemok :p

To Kechikun: Terima kasih banyak, lepas ni nak post entri ucapan terima kasih plak :)

To Putera Yusoff: Terima kasih kerana menjadi pengikut saya ;)

To Ee: Fake? Miahahaha! Cute? Bwargh!
udeshah said…
gamba recording tuh..hen ke ai..tp nmpak muke suci giler..huahua
nashakeem said…
wahhh...glemorrrrrr kak rosss!!!!

Popular Posts