Sunday, January 22, 2012

Terima Kasih Cerita Kami

Assalamualaikum dan salam sejahtera saya ucapkan buat pembaca semua! Terima kasih kepada mereka yang masih lagi rajin singgah ke dalam blog yang kerdil ini. Rasa amat terharu! Sedar tak sedar, Upin & Ipin dan Kawan-kawan musim kelima telah berjaya kami siapkan dengan penuh nikmat dan pancaroba. Alhamdulillah.

Episod yang menjadi kegemaran saya pada musim ini ialah episod Cerita Kami. Mengapa? Kerana Cerita Kami memaparkan aktiviti Upin & Ipin dan kawan-kawan sekelas mereka bekerjasama untuk menjayakan teater muzikal! Lagipun, saya yang bertanggungjawab untuk menulis dan mengarang. Namun begitu, episod ini tidak akan berjaya tanpa pasukan LCP yang hebat dan berbakat.

Mungkin ada sedikit terlambat. Tapi, saya masih mahu ucapkan tahniah dan terima kasih saya ucapkan kepada tenaga kreatif belakang tabir yang berusaha untuk menjayakan episod ini (dari episod 1 hingga 42 tentunya). Tepuk tangan!

Sengaja saya memberi peluang kepada Ijat untuk menjadi pencerita kerana dia terlalu pendiam. Mei Mei ada rasa sedikit cemburu tetapi akhirnya dia seronok juga. Abang Salleh juga amat baik hati dalam episod ini. Eh, banyak spoiler pula. Sila tonton klip yang telah disediakan di bawah. Lirik telah pun saya sediakan di bawah. Mari kita nyanyi sama-sama!



Saya gembala biri-biri
Semua dijaga rapi-rapi
Sudah dibawa makan mari
Boleh berehat senang hati

Kami biri-biri Si Jarjit
Hari-hari makan rumput je
Jalan bersama atas bukit
Nikmati indahnya dunia

Saya kambing yang paling sihat
Dia kata saya terlembeeek
Saya kambing yang paling cantik
Saya suka, saya suka!

Mari-mari dengar cerita kami
Kisah penggembala dan biri-biri

Tolong! Tolong! Ada serigala di sini!
Tolong! Tolong! Selamatkan biri-biri!

Serigala? Serigala? Mana? Mana?
Mari kita tolong!

Tolong! Tolong! Ada serigala di sini!
Tolong! Tolong! Selamatkan biri-biri!

Serigala? Serigala? Mana? Mana?
Mari kita tolong!

Grrr! Awoo!
Akulah serigala yang lapar!
Aku mahu biri-biri!
Nyam, nyam! Aum! Hahahaha!

Tolong! Tolong! Ada serigala di sini!
Tolong! Tolong! Habis biri-biri saya!

Serigala? Serigala? Mana? Mana?
Kami tak percaya lagi
Dia selalu mainkan kami
Biarkanlah dia
Kita sambung kerja kita
Jom!

Biri-biri saya dah hilang
Habis dimakan serigala
Kamu semualah, tak datang
Tinggal saya seorang saja

Itulah orang sudah kata
Jangan biasa memperdaya
Nanti orang dah tak percaya
Bila terkena padan muka!

Tamatlah sudah alkisah tadi
Terima kasih dan jumpa lagi

Dalam entri ini, saya ingin kreditkan kepada beberapa orang yang membuatkan saya rasa istimewa ketika menulis episod ini. Kepada mereka yang namanya yang tidak saya nyatakan disini, jangan berkecil hati ya!

Pertama sekali... Terima kasih yang tak terhingga saya ucapkan kepada Uncle dan Auntie kerana menyukai jalan cerita ini.

Tuan guru yang amat saya hormati, komposer hebat Faren. Faren yang bertungkus lumus menghasilkan lirik dan melodi indah untuk episod muzikal ini. Sungguh seronok dapat bekerja dengan beliau. Tanpa beliau, tak mungkin episod ini akan menjadi episod muzikal.

Ketika episod ini masih lagi dalam proses penulisan, Faiz selaku pengarah untuk Upin & Ipin telah pun menggembar-gemburkan dengan penuh semangat ke seluruh studio betapa soronoknya episod ini. (Entah berapa kali saya, Faren dan Faiz naik turun untuk membuat presentation lagu ini kepada auntie).

Kepada semua pelakon suara yang menyanyi untuk episod ini, terima kasih sangat-sangat! Terutamanya penggembala biri-biri, Shafiq selaku Jarjit yang berlakon tanpa jemu dan terpaksa berlatih menyanyi. Arul selaku Mail yang semulajadinya itu pelat "r" menambahkan lagi kecomelan Mail bila sebut biri-biri. Perkataan "Bighi-bighi" itu sangat mahal!

Kepada team storyboard, audio dan skrip tentunya, saya rasa amat terharu apabila sesi menyanyi untuk mock-up dilakukan bersama-sama. Kecoh recording studio dibuatnya!

Team animation yang (duduk sekeliling saya) penuh bersemangat dan sentiasa mendendangkan lagu ini ketika animate, terima kasih saya ucapkan kerana memberikan suasana yang positif pada diri saya dikala rasa terhimpit dengan tekanan kerja.

Juga buat peminat yang sentiasa memberikan sokongan dan kritikan membina, terima kasih! Your love and support really kept us going! Thank you sooo much from the bottom of my heart :)

Hanya ucapan terima kasih yang bisa saya ucapkan, andai ada kata-kata yang lebih tinggi nilainya dari terima kasih, sudah tentu saya ucapkan kepada anda semua! Once again, eternal thanks to all of you!

Jumpa lagi di musim akan datang! Betul, betul, betul!

Tuesday, January 17, 2012

Borak-borak Bantal

Saya baru sahaja pulang dari bercuti di Sungkai beberapa hari lepas. Butir lengkap mengenai percutian ini akan saya ceritakan kemudian. Sangat seronok dapat beriadah bersama kawan-kawan. Perkara yang paling menarik ialah kami semua duduk di bawah satu bumbung dan berkongsi cerita selain daripada hal kerja.

Mungkin saya sendiri (sangat) jarang punya masa untuk bincang (atau bergosip mengenai) hal peribadi bersama rakan-rakan. Macam-macam cerita dan soalan keluar. Berkongsi merupakan salah satu terapi yang terbaik untuk melepaskan tekanan. Lagipun, ini memang merupakan objektif utama outing beramai-ramai.

Saya yang terlebih gembira :D

Saya, AdaDya, Aen, Ice, SalsaShiela sama-sama bentang tilam di ruang tamu dan ber"pillow talk" beramai-ramai. Semua berbual dalam keadaan sangat selesa. Baring atas tilam yang empuk dan masing-masing membalut dalam selimut (mungkin permaidani :p) dan ditemani sayup-sayup bunyi televisyen yang sengaja yang diperlahankan. Dalam kedinginan malam, topik yang paling hangat yang kami bincangkan tentulah hal lelaki. Hahaha…

Kumpulan Ros Power!
Atas dari kiri: Aen, AdaDya, saya, SalsaShiela dan Kiki
Bawah dari kiri: Ice, Jeihan, dan sepupu Calvin

Jadi di sini, sengaja saya ingin kongsikan antara perbualan hangat kami pada malam itu. Sayalah yang memulakan mukadimah, dan semua orang wajib berkongsi. Hehehe.

Saya: Dalam banyak-banyak selebriti lelaki, korang minat siapa?
AdaDya: Ada minat Remy Ishak sebab dia ada macam Ropie sikit. Tapi sebab Leman perasan dia Remy Ishak, jadi macam geli sket. So, Ada minat Aaron Aziz lah.
Aen: Hmm… Aen minat Fizo Omar.
Shiela: Siapa tu?
Aen: Baru-baru ni dia ada keluar melodi pasal kes dia tu…
Ice: Ice minat Adi Putra.
Sheila: Shiela suka Fahrin Ahmad. Ashraff Muslim pun suka jugak. Tapi bila dia nangis buruklah. Hehehe…
(Gosip diteruskan dan ramai yang dahulunya meminati Awal Ashaari rupa-rupanya)
AdaDya: Ha, Idaman minat siapa?
Saya: Hmm… Err, Idaman minat Razif Hashim.
Semua: Siapa tu?
(Hahaha, nampaknya saya memang tiada taste dalam pemilihan lelaki: sambil gelak guling-guling)

And yes, there's a lot we don't know about each other. If there's a chance for us to get to know each other and eratkan the silaturrahim, why not kan? :)

*Gambar kredit kepada semua jurugambar LCP :)

Monday, December 12, 2011

Sawadeekap!

Tahun ini merupakan tahun cuti-cuti saya bersama keluarga. Destinasi pilihan kami tahun ini ialah Hadyai, Thailand. Sekiranya anda ingin membaca perbandingan antara Thailand dan Malaysia, silalah ke blog ini. Disebabkan saya sedang menyimpan wang untuk melangsaikan pinjaman kedua PTPTN, saya tidak membawa wang yang banyak. Saya hanya berbekalkan RM 100 (lebih kurang dalam 1000 baht) sebagai wang belanja. Kepada mereka yang ingin melancong ke luar negara, silalah jelaskan pinjaman anda ya.

Kami pergi ke Hadyai dengan menaiki bas. Perjalanan memakan masa 7 - 8 jam (banyak masa dihabiskan dalam bas sebenarnya). Kalau anda berhasrat untuk masuk ke negara jiran ini saya sarankan pergilah seawal subuh kerana anda perlu beratur untuk lalu di bahagian imigresen. Ini merupakan kali pertama saya menjejakan kaki di negara ini. Sesungguhnya saya tidak dapat menjangkakan apa yang ada di Thailand. Tapi yang pastinya saya mahu berjalan-jalan dari menghabiskan wang dengan membeli belah.

Antara hidangan yang kami pesan, nasi putih, sayur campur, tom yam dan ikan siakap tiga rasa. Biasa-biasa sahaja... (pernahkah anda terfikir, restoran Malaysia sebenarnya "dijajah" oleh Thailand!)

Setibanya di Thailand, kami berjalan mencari restoran halal. Kami makan tengah hari di restoran Hamid. Harga makanan di restoran ini sedikit mahal. Disebabkan kami tidak tahu selok-belok di sini jadi kami sekeluarga masuk sahaja tanpa berfikir panjang. Pelayan di sini boleh berbahasa Melayu, dan tidak sukar untuk berkomunikasi. Kami memesan murtabak, nasi dan beberapa jenis lauk. Murtabaknya sedap, dihidangkan bersama sos cili Thai yang lazat. Tapi lauknya tidak berjaya menambat hati saya. Biasa-biasa sahaja.

Selepas makan tengah hari, kami berjalan tanpa arah tuju dan masuk ke dalam salah sebuah pusat membeli-belah berdekatan. Harga barangan di Thailand jauh lebih murah berbanding Malaysia. Sepasang selipar yang biasa dijumpai di pasar malam boleh dibeli dengan harga 100 baht, beli satu percuma satu. Amat murah. Kasut tumit tinggi atau but dijual dalam lingkungan 200-500 baht. Kepada mereka yang gemar membeli belah atau ingin bergaya dengan cara yang bijak, bolehlah datang ke Hadyai.

Tempat menjaja idea

Saya berkesempatan untuk melihat Idea Market yang terdapat di sini. Idea Market merupakan himpunan penggiat seni yang ingin menjual hasil kraftangan mereka. Suasana di Idea Market ini sangat meriah. Hasil kraftangan mereka juga kreatif, rambang mata dibuatnya. Pada pengamatan saya, barangkali mereka ini semua adalah pelajar kerana semuanya nampak muda dalam lingkungan 20an.

Manisan yang berwarna-warni, sangat cantik. Tapi saya tidak suka makanan manis

Salah satu tempat yang wajib anda singgah sekiranya ke Hadyai ialah pasar terapung. Mungkin ada yang berpendapat pasar semuanya sama, tapi pasar terapung di sini istimewa sekali. Dari jauh lagi sudah nampak sampan yang dihias cantik dan berwarna-warni di tepi sungai. Pasar di Hadyai sangat meriah, di sini anda boleh melihat serangga goreng dijual, bunga pandan dan bermacam-macam lagi makanan dan barangan unik yang dijual di sini. Serasa macam pasar dalam cerita dongeng pun ada.

Bunga pandan yang dijual di pasar darat sebelum masuk ke pasar terapung

Ada sesiapa mahu serangga goreng?

Oleh kerana saya seorang yang sukakan makanan, saya lebih banyak membelanjakan wang untuk makanan berbanding barangan lain. Makanan di Hadyai sangat enak, cantik dan murah. Contohnya, semangkuk kuetiau tomyam berharga 25 baht (dalam RM 2.50). Tom yam di sini berbau wangi, warnanya jernih dan rasanya pula ada sedikit masam. Sangat sedap! Saya mencuba hampir semua makanan di pasar terapung ini. Disebabkan saya makan tanpa beringat, seluruh wajah saya kegatalan dan kemerahan selepas makan cucur udang. Tidak mengapa, ini sangat berbaloi.

Jagung susu dan jagung pulut (yang berwarna ungu putih)

Destinasi seterusnya ialah pasar malam Hadyai. Kami menaiki "tut-tut" beramai-ramai dan perjalanan ke pasar malam ini mengambil masa 5 minit sahaja dari hotel. Barangan di pasar malam sini murah-murah belaka. Saya ada membeli sepasang kasut Oxford berwarna coklat dengan harga 129 baht (dalam RM 12.90). Sehelai kardigan berharga 100 baht sahaja. Kepada mereka yang ingin membuka perniagaan barangan atas talian, saya galakan anda datang dan membeli barang di sini secara pukal.

Seronoknya naik "tut-tut'!

Tapi yang paling menggembirakan saya di sini ialah makanan jalanan tentunya. (Kepada mereka yang tidak makan makanan jalanan adalah satu kerugian besar!) Saya sekeluarga makan di sebuah gerai kecil yang menjual nasi ayam. Nasi ayam Hadyai teramat sangatlah sedap. Tatkala saya sedang menulis ini pun sudah rasa terliur. Sos cili Thai di sini sangat sedap. Ada rasa sedikit tertipu dengan sos cili Thai yang dijual dalam botol di Malaysia. Sos cili Thai yang asli lebih berperisa, ada rasa udang kering, bawang, mangga dan pedas tentunya. Argh! Disturbing sungguh!

Saya dan adik yang makan tanpa henti :p

Dua hari satu malam berlalu dengan sangat pantas. Keesokan harinya, kami sudah pulang ke Malaysia. Sebelum pulang, saya sarankan anda mencuba ayam pulut yang dijual di tepi-tepi jalan sebelum anda melalui imigresen. Ianya adalah ayam goreng rangup yang dimakan bersama pulut, bawang goreng dan sos cili Thai. Street food sangat heaven!

Begitulah kembara Thailand saya. Kepada mereka yang berhasrat untuk ke Hadyai, saya harap maklumat yang saya kongsikan ini amat berguna. Memang seronok! Harap dapat ke Thailand lagi! v(^____^)v

Friday, March 11, 2011

Intro Baru Upin & Ipin dan Kawan-kawan Musim Kelima!

Sementara menanti apakah yang berselindung di sebalik dedaun celahan semak serta gambar pemandangan sebuah kereta menuju ke sebuah rumah kayu, ingin kami hadiahkan anda dengan intro Upin & Ipin musim kelima!



Kalau semua nak tahu, Upin & Ipin dan Kawan-kawan ini bakal bersiaran esok jam 6:30 petang mulai 12 Mac 2011, hanya di TV9!

Walaupun dan masuk musim kelima, namun Upin & Ipin dan Kawan-kawan mereka tak akan membesar! Hehehe... Selamat menonton! Betul, betul, betul!

Panas dari Ketuhar :)


Ya, bukan lagi kahbar angin dan inilah utusan mutakhir. Panas dari ketuhar :)
(Kami memang suka membuatkan anda ternanti-nanti)

Thursday, March 3, 2011

Thursday, April 1, 2010

Kak Ros di Remaja

Silalah dapatkan Remaja isu #567, 1 April 2010 dengan kulit hadapan pengacara Wanita Hari Ini Shera bergandingan dengan pelakon baru Shahz.

Kepada mereka yang ingin tahu bagaimana proses rakaman suara dibuat, silalah ke ruangan Kerjaya di mukasurat 156 dan 157. Ada temuramah bersama Kak Ros :)


Sudah ada di pasaran :)

Terima kasih kepada Nur Natasha Aida yang sudi menemuramah saya dan saudara Jazlan Nangar selaku jurufoto yang mengambil gambar untuk ruangan kerjaya ini.

Monday, March 29, 2010

Berpesta Buku

Inilah bulan yang saya nanti-nantikan. Setelah lama 'berpuasa' dari membeli buku beberapa bulan, masa untuk membalas dendam tiba akhirnya! Mari kita berpesta buku!

Ketika di PBKL 2010, saya berpeluang bertemu dengan penulis kegemaran saya - Faisal Tehrani. Saya tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan buah tangan terbaharu beliau iaitu 'Bahlut' dan 'Ingin Jadi Nasrallah' di gerai Ameen Serve.

Selepas mendapatkan buku-buku yang disebutkan di atas, saya bergegas ke gerai ITNM untuk mendapatkan tandatangan beliau. Saya juga menyatakan hasrat saya untuk mendalami bidang penulisan memandangkan saya masih lagi baru dalam bidang ini.

Bersama Faisal Tehrani

Sesuatu yang tidak dijangka berlaku di gerai ITNM. Apabila saya memperkenalkan diri sebagai penulis skrip dan pelakon suara Kak Ros bagi siri animasi Upin & Ipin, petugas di gerai ITNM serta merta teruja dan menghulurkan mikrofon lalu meminta saya untuk memperkenalkan diri sebagai Kak Ros di khalayak ramai. Oh, segannya. Satu peristiwa yang tak mungkin saya lupakan...

*Secara jujurnya, saya terasa macam mengganggu 'event' orang lain pula. Maafkan saya FT... Huhu...

Selepas itu, saya terus melangkah kaki ke dewan "seberang sungai" untuk bertemu dengan seorang lagi penulis yang dijadualkan untuk mempromosikan buku beliau di gerai PTS. Saya sempat bertemu dengan Nisah Haron. (Beliau merupakan penulis cerpen Annys Sophilea dalam antologi Anak Laut)

Bersama Nisah Haron - Beliau juga menetap di Seremban :)

Saya sempat beramah mesra dengan beliau walau sekejap. Dapat beramah mesra dengan penulis yang telah lama berkecimpung dalam bidang penulisan buat saya rasa amat bertuah. Pada satu ketika dahulu, saya hanya bisa membaca cerita mereka dari buku sahaja. Tak sangka dapat bertemu muka satu hari nanti.

Belum sempat masuk bulan April, tanpa saya sedari, saya telah menghabiskan sebanyak RM300+ untuk buku. Saya juga telah membeli biola akustik dari ebay dengan harga yang berpatutan (lebih kurang RM300+ selepas bidaan saya menang).

Nampaknya dompet saya perlu berdiet pada bulan hadapan... Borosnya saya... (-_-)"

Sunday, March 28, 2010

Disebalik Suara Upin & Ipin dan Kawan-kawan

Dengan bangganya Kak Ros perkenalkan pelakon-pelakon suara bagi siri animasi Upin & Ipin musim keempat... Tadaa!

Belakang dari kiri : Fizi (Ida Rahayu), Kak Ros (Idaman), Opah (Pn. Ainon), Mei Mei (Yuki) dan Dzul (Amirul)
Depan dari kiri: Ehsan (Syahmi), Upin & Ipin (Syiela) dan Mail (Hasrul)


Ini ialah adik Asyiela Putri, atau dengan panggilan manjanya Syiela. Masih Kak Ros ingat ketika pertama kali berbual dengan Syiela, dia hanya akan tersenyum dan malu-malu untuk menjawab. Setelah beberapa lama, adik Syiela ini sebenarnya sangat ceria dan mudah mesra orangnya. Apa yang menyenangkan, Syiela seorang yang tidak lokek senyuman.

Seterusnya, rakan sekelas Upin & Ipin iaitu Dzul dan Ijat yang semakin mendapat perhatian ramai. Mereka sebenarnya sudah lama meminjamkan suara namun wajah mereka tidak pernah dipamer di mana-mana lagi (melainkan blog rasmi LCP).


Suara Dzul dilakonkan oleh adik Amirul manakala Ijat pula dilakonkan oleh adik Izzat. Mereka berdua ini sebenarnya rakan karib kepada pelakon suara Mail (Hasrul). Lazimnya selepas tamat sesi rakaman suara, mereka akan naik ke tingkat produksi untuk bermain game atau bola sepak (tak tipu, memang main dalam pejabat).


Andai penonton perhatikan kredit di akhir cerita Upin & Ipin pasti akan perasan akan perubahan kepada pelakon suara Mei mei. Tang Ying Sowk atau selesa dengan panggilan Yuki ini telah meminjamkan suaranya sejak pertengahan musim tiga lepas. Yuki juga merupakan salah seorang staf yang cukup kak Ros segani di LCP ini.

Ramai yang tertanya-tanya mengapa pihak produksi LCP mengambil pelakon suara baru Upin & Ipin untuk musim ini. Di sini Kak Ros ingin menjelaskan bahawa pihak LCP ingin mencungkil bakat baru yang bakal menjadi pelapis untuk siri kegemaran ramai ini. Ini juga memberi ruang kepada pelakon suara asal Upin & Ipin untuk membuat persiapan bagi menghadapi peperiksaan besar pada tahun hadapan.

Diharapkan semua peminat akan terus menyokong Upin & Ipin. Perubahan suara sama sekali tidak menjejaskan kualiti animasi ini. Teruskan menonton Upin & Ipin :)

Thursday, March 25, 2010

Upin & Ipin Musim Baru

Upin & Ipin kembali lagi! Sedar tak sedar, siri animasi Upin & Ipin kini sudah masuk musim keempat! Upin & Ipin kini tampil dengan konsep baru yang lebih ceria, nakal dan menghiburkan.


Meski sudah memasuki musim keempat, kami di LCP tegar mengekalkan Upin & Ipin dan kawan-kawan sebagai kanak-kanak tadika sahaja. Ramai yang bertanya, mengapa Upin & Ipin dan kawan-kawan tidak membesar. Jawapannya mudah sahaja, mereka semua terlalu comel dan kami di LCP tidak mahu melihat mereka membesar.

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua peminat Upin & Ipin yang terus setia menyokong siri animasi ini. Ini menaikkan lagi semangat saya untuk menulis skrip untuk Upin & Ipin di episod yang mendatang.

Jangan lupa tonton Upin & Ipin dan Kawan-kawan musim keempat setiap hari jam 5:30 petang, hanya di TV9:)